Safari Sasar 5000 unit silinder LPG pada tahun hadapan - Safari Techs PLT

Safari Sasar 5000 unit silinder LPG pada tahun hadapan

Enhancing LPG Cylinder

Safari Sasar 5000 unit silinder LPG pada tahun hadapan

SUNGAI PETANI, 20 Feb (Bernama) — Pengeluar silinder gas petroleum cecair (LPG) komposit, Safari Techs PLT (Safari), yakin dapat mencapai sasaran pengeluaran 5,000 unit silinder setiap bulan mulai tahun depan.

Safari, merupakan firma di bawah program Keusahawanan Siswazah atau Symbiosis 3.0 Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) yang komprehensif serta meliputi aspek pengkomersialan.

Ketua Pegawai Eksekutif Safari, Mohd Faridzul Asyraf Mat Arifin berkata pada masa ini pihaknya berupaya menghasilkan antara 500 dan 700 unit silinder sebulan yang diperbuat daripada bahan komposit menerusi projek rintis dengan kerjasama Sirim Tech Venture Sdn Bhd (STV).

“Kita sedang melaksanakan projek rintis…untuk fasa permulaan dan penembusan pasaran, silinder LPG ini dihasilkan menerusi kemudahan sedia ada STV.

“Bagi kemajuan seterusnya Safari dan STV akan bekerjasama bagi pemindahan teknologi untuk pembuatan pada skala industri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Safari dengan STV dan Astana City Group Sdn Bhd (ACGSB) yang turut dihadiri Ketua Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus.

Safari diwakili Mohd Faridzul manakala STV diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ajmain Kasim serta ACGSB diwakili Pengarah Pemasaran, Che Mohd Faizul Che Abdullah, menandatangani MoU itu dengan disaksikan Norhalim.

ACGSB merupakan pengedar silinder gas LPG pertama di Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd Faridzul berkata teknologi produk silinder gas itu menggunakan teknik pencantuman bahagian logam pada bahagian plastik semasa proses awal penghasilan dan teknologi itu dapat mengelakkan berlakunya kebocoran gas.

“Antara kelebihan silinder gas ini adalah ia lebih ringan (60 peratus lebih ringan berbanding silinder logam), lebih selamat kerana ia tidak meletup walaupun dalam insiden kebakaran, (selain itu) silinder ini tidak berkarat dan ia (juga) lut cahaya dengan takat gas dapat dilihat pada dinding silinder,” katanya.

Sementara itu, Norhalim berkata MoU antara Safari dengan STV dan ACGSB itu akan membawa hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi berkenaan ke dalam pasaran secara lebih baik.

Beliau berkata hasil kajian inovatif oleh pasukan STV telah terpilih untuk dimasukkan ke dalam program MTDC itu.

MTDC juga berperanan mengenal pasti teknologi atau inovasi yang dihasilkan universiti  tempatan  untuk diletakkan di dalam program yang sama, katanya.

Menerusi MoU tersebut, Safari dan STV akan bekerjasama dalam aspek pemindahan teknologi untuk pembuatan silinder itu pada skala industri, manakala ACGSB akan membantu Safari menembusi pasaran silinder gas LPG di negara ini.

— BERNAMA (Link asal)

Tags: ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *